“SAYA sendiri tidak tahu bagaimana secara tiba-tiba begitu ramai pengguna melanggan saluran Youtube kami sedangkan kami sangat baru, masih banyak kekurangan dalam kandungan video yang perlu kami perbaiki,” kata S Pavithra, 28.
Pavithra dan suami, M Sugu, 29, tular di media sosial beberapa hari kebelakangan ini selepas video masakan yang dikongsi menerusi saluran Youtube mereka mendapat perhatian warganet.
Selain kepelbagaian menu yang disediakan termasuk masakan India, penggunaan bahasa Melayu oleh Pavithra dalam semua video nyata berjaya menambat hati rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan peringkat umur untuk terus melanggan saluran pasangan suami isteri itu yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’.
Pavithra berkata, dia dan suami mula berjinak-jinak sebagai Youtuber sejak Januari lalu selepas mendapat saranan daripada rakan baik yang juga seorang YouTuber untuk menghasilkan serta memuat naik video masakan di laman berkenaan.
Menu pertama yang dikongsi mereka adalah ikan talapia bakar dan Pavithra berkata, dia dan suami menunjukkan tutorial memasak menggunakan bahasa Melayu.
Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, mereka sendiri terkejut apabila jumlah pelanggan saluran mereka meningkat sehingga 10,000 dalam tempoh sebulan saluran berkenaan diwujudkan.
Susulan itu, pasangan ini menerima emel daripada YouTube untuk menjadi Rakan Youtube sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut dolar Amerika Syarikat (AS).
Gemar memasak dan fasih bahasa Melayu
“Saya dan suami memang gemar memasak jadi kami tiada idea yang lebih baik untuk dijadikan kandungan utama saluran YouTube kami selain berkongsi resipi dan tutorial masakan.
“Pada peringkat awal, rakan baik saya turut mempromosikan saluran kami di salurannya jadi mungkin juga itu antara faktor video kami ditonton lebih ramai pelayar sehingga jumlah pelanggan juga naik mendadak.
“Walaupun saya berbangsa India, saya ambil inisiatif untuk hasilkan video dalam bahasa Melayu berbanding Tamil supaya ia dapat difahami lebih ramai penonton di negara ini,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.”
Bercerita lanjut, Pavithra menjelaskan, jika orang lain mempunyai perkakasan dapur yang canggih, tidak pula bagi mereka yang hanya mempunyai perkakasan asas di dapur.
Bukan orang senang
Berbekalkan dua periuk termasuk periuk untuk memasak nasi selain kuali dan sudip, kandungan video dihasilkan menggunakan telefon pintar yang dibeli secara hutang untuk tujuan perkongsian video terbabit.
Rakaman juga menurutnya dibuat selepas suami pulang dari kerja atau pada hari cuti.
“Sejujurnya, kami bukanlah orang senang. Saya hanya suri rumah sepenuh masa manakala suami pekerja ladang kelapa sawit dan kami tinggal di kuarters yang disediakan majikan suami.
“Sebab itu, perkakasan yang digunakan untuk kandungan video hanyalah periuk, kuali dan sudip biasa, barang sedia ada di rumah yang kami gunakan setiap hari, tiada pun peralatan canggih.
“Kami juga tiada tripod (kaki tiga) jadi untuk menstabilkan telefon ketika rakaman, kami hanya letakkan telefon di atas cawan di tempat yang kukuh.
“Memandangkan suami agak pemalu, saya lebih banyak bercakap khususnya ketika kenalkan bahan-bahan dan cara-cara namun proses suntingan klip video dilakukan bersama selepas makan,” katanya.
Dalam pada itu, Pavithra turut menzahirkan terima kasih kepada pelanggan salurannya yang menghadiahkan mereka dengan pelbagai peralatan dapur.
“Saya menerima pelbagai perkakasan seperti pressure cooker (periuk tekanan), hand mixer (pengadun tangan) dan ketuhar yang tidak pernah saya gunakan apa lagi miliki seumur hidup saya.
“Tidak kurang juga pengikut yang menghantar bahan mentah serta rempah ratus untuk saya gunakan dalam penghasilan video.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada keluarga, jiran, rakan dan pelanggan yang sentiasa memberikan idea mengenai menu masakan seterusnya untuk saya hasilkan dalam video,” katanya.
Sehingga jam 8 malam ini, jumlah pelanggan saluran Sugu Pavithra di laman Youtube sudah mencecah 217,000 pelanggan.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!MK
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Page @Media Kita
Sumber: Metro online via trendinggiler
PERHATIAN: Pihak Media Kita tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Media Kita juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.
Be the first to comment on "“Saya Bukan 0rang Senang, Telef0n Pintar Pun Dibeli Secara Hvtang” Pavithra"