“Arsenal, Filem Hindustan Dan KFC” Inilah Antara Fakta Menarik Mengenai Al-Sultan Abdullah

KETIKA negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, ramai cukup terkejut apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan turun padang ke lokasi sekatan jalan raya di ibu negara.

Dengan gaya bersahaja, Baginda meluangkan masa bagi melihat sendiri perkembangan operasi serta mengambil peluang menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi perintah dikeluarkan selain menjaga keselematan diri dan keluarga.

Baginda sememangnya cukup dekat di hati rakyat dan jika bukan kerana Covid-19, Baginda memang cukup gemar meluangkan masa bersama rakyat jelata setiap kali berpeluang berbuat demikian.

Baginda tidak kekok berhenti di tepi jalan bagi membantu mangsa kemalangan.

Baginda juga secara bersahaja pernah beberapa kali berhenti di tepi jalan untuk membeli kuih-muih di gerai atau membantu mangsa kemalangan jalan raya.

Imej berkenaan cukup sinonim dengan Baginda yang menjadi topik percakapan dalam kalangan rakyat jelata mengenai kekaguman terhadap sikap rendah diri dan mengambil berat kerabat diraja Pahang ini.

Malah Tuanku sendiri pernah bertitah bahawa Baginda selalu menganggap dirinya sebagai rakyat dan akan melakukan perkara yang membolehkannya berada dekat dengan rakyat secara spontan.

“Saya selalu anggap (diri) sebagai rakyat, saya tak menganggap (diri) sebagai Raja. Protokol tu ada, tetapi saya tak boleh kaku sangat. Kerana itu, secara spontan saya akan buat apa yang boleh mendekatkan saya dengan rakyat.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Yang mana boleh turun padang, boleh dekat dengan rakyat, bersalam dengan rakyat, bercakap dengan rakyat, saya akan buat. Sorry (maaf) la (bahagian) protokol, saya akan buat, ” titah baginda ketika ditemubual media di Istana Negara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, tahun lalu.

Bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini (Isnin), mStar menyenaraikan beberapa fakta menarik mengenai Baginda.

1. Al-Sultan Abdullah telah diputerkan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang dan merupakan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Afzan.

2. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan, Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan serta di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara di Aldenham School, Hertsfordshire (1975 – 1978) dan kemudian di Devies’ College, London (1978 – 1979).

Wajah kacak Baginda semasa muda.

Baginda juga telah menyertai kursus hal-ehwal luar negeri di Queen Elizabeth College, University Oxford, England dan kursus Tatacara Pentadbiran Tanah di Institut Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur selama 2 minggu selain melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, England.

3. Pada usia 16 tahun, Baginda telah dilantik menjadi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan telah dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.

4. Al-Sultan Abdullah berkahwin dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac 1986 di Istana Bukit Serene, iaitu kediaman rasmi Sultan Johor.

Penyatuan itu mengulangi sejarah tradisi kesultanan Johor-Pahang yang pernah menyaksikan pernikahan moyang Tengku Ampuan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Johor dengan seorang puteri diraja Pahang dan juga pernikahan Almarhum Sultan Mahmud Pahang dengan Tengku Ampuan Mariam, puteri Sultan Abu Bakar Johor.

Baginda bersama Raja Permaisuri Agong dan putera serta puteri pasangan diraja yang begitu humble.

5. Baginda dikurniakan sembilan cahaya mata iaitu Tengku Amir Nasser Ibni Sulta Abdullah, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Sultan Abdullah Al-Haj, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Sultan Abdullah Al-Haj, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Sultan Abdullah Al-Haj, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Sultan Abdullah Al-Haj, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Sultan Abdullah Al-Haj, Tengku Puteri Iman Afzan binti Sultan Abdullah Al-Haj, Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Sultan Abdullah Al-Haj dan Tengku Puteri Ilyana binti Sultan Abdullah Al-Haj.

6. Baginda meminati genre R&B dan menggemari penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Lionel Richie. Selain itu, antara penyanyi tempatan kegemarannya adalah Dahlan Zainuddin, Datuk Jamal Abdillah dan Ameng (Spring).

7. Sekiranya tidak bergelar seorang Raja, Al-Sultan Abdullah mengakui sejak muda ingin bergelar seorang tentera kerana tugas itu mendorong disiplin tinggi dalam diri serta uniformnya membuatkan diri Baginda berasa bangga.

KFC antara makanan kegemaran Baginda.

8. Kelab bola sepak kegemaraan Baginda adalah Arsenal dan Al-Sultan Abdullah merupakan seorang yang aktif dalam bidang sukan bahkan telah aktif semenjak kecil lagi dalam sukan hoki dan bola sepak.

9. Al-Sultan Abdullah menggemari masakan ikan dan sotong termasuk masak taucu, gulai tempoyak patin, ayam masak kicap, ayam serta ikan bawal golek selain menyukai makanan barat seperti burger dan Kentucky Fried Chicken (KFC).

10. Baginda gemar menonton filem Hindustan dan mendedahkan sudah menonton Sangam sebanyak lima kali manakala Kuch Kuch Hota Hai sebanyak empat kali. Al-Sultan Abdullah juga gemar filem bertemakan peperangan termasuk terbitan tempatan iaitu Paskal.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!MK

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Page @Media Kita

Sumber : mStar

PERHATIAN: Pihak Media Kita tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Media Kita juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.

Be the first to comment on "“Arsenal, Filem Hindustan Dan KFC” Inilah Antara Fakta Menarik Mengenai Al-Sultan Abdullah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*